
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap kes yang dilaporkan membabitkan beliau selesai.
Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan bebas tanpa sebarang gangguan.
Katanya, keputusan tersebut merupakan satu langkah pentadbiran bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
“Bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berkenaan.
Namun, kenyataan tersebut tidak memperincikan bentuk dakwaan atau laporan yang dibuat terhadap Muhammad Hafizuddeain.
Kementerian Pertahanan turut memberi jaminan sebarang perkembangan berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan mengikut saluran yang sewajarnya.







