
KULIM: Bumbung sebuah stesen petrol di Sungai Ular, di sini runtuh selepas dilanggar sebuah treler yang mahu membelok masuk untuk mengisi diesel dalam kejadian pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, sebuah treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Kuala Ketil melalui Serdang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, siasatan awal mendapati treler berkenaan membelok ke arah pam diesel sebelum bahagian badannya secara tidak sengaja terlanggar struktur bumbung stesen tersebut.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan bumbung stesen itu runtuh serta mengakibatkan kerosakan pada empat pam stesen berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, treler terbabit tidak mengalami sebarang kerosakan, manakala kerugian dialami pihak stesen terbabit masih dalam penilaian.
Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan lengkap dijalankan.







