
ROMPIN: Seramai 30 penumpang bas ekspres selamat selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di atas Jambatan Endau, sempadan Pahang-Johor di Teluk Gading, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemalangan berlaku pukul 11.20 malam ketika bas ekspres dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kelantan.
Katanya, siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui jambatan berkenaan sebelum terbabas ke lorong kanan dan bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.
“Semua penumpang termasuk pemandu bas dan treler terselamat. Mereka dihantar pulang ke destinasi masing-masing menggunakan bas lain kira-kira sejam selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata, penumpang bas berusia antara tujuh hingga 50 tahun dan tiada cedera serius dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memandu secara cuai, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.







