
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia akan mengambil tindakan terhadap penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang menggunakan logo rasmi tanpa kebenaran.
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia berkata, tindakan itu diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama dan identiti korporat rasmi.
“Pihak kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Sentul pada 14 hingga 22 Disember lalu.
“Penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur dibuat tanpa kebenaran bertulis secara rasmi,” menurut kenyataan hari ini.
Tular dalam media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti wanita menerima anugerah dalam acara terbabit, sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Isu itu juga mencetuskan perdebatan di kalangan pengguna media sosial, khususnya beragama Islam yang mendakwa acara berkenaan bertentangan dengan ajaran agama.
MOTAC dan Tourism Malaysia menegaskan mereka tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara tersebut.
Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur untuk memastikan penggunaan logo rasmi dan hak harta intelek diuruskan mengikut peraturan ditetapkan.







