
ALOR SETAR: Pas menolak sekeras-kerasnya dan mendesak kerajaan membatalkan pindaan Rang Undang-undang Akta Pembaharuan Bandar (PSB) yang didakwa mengancam hak rakyat dan masa hadapan generasi muda.
Mohamad Suhaimi Abdul Aziz mewakili Pas Kawasan Titiwangsa berkata sebarang undang-undang yang digubal secara terburu-buru tanpa penelitian menyeluruh serta proses libat urus yang telus adalah pengkhianatan terhadap prinsip keadilan, demokrasi dan amanah pemerintahan.
Ini kerana dakwanya RUU berkenaan bukan sahaja membebankan rakyat tetapi juga membuka ruang kepada penyelewengan dan penindasan yang lebih besar.
“Muktamar turut mengingatkan bahawa Pas bersama seluruh kekuatan ummah tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan mobilisasi rakyat secara besar-besaran sekiranya kerajaan tetap berdegil mempertahankan undang-undang zalim ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul PSB pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming sebelum ii menegaskan kepentingan RUU PSB bagi memastikan bangunan lama di negara ini lebih selamat dan moden mengikut piawaian semasa.
RUU PSB bertujuan memastikan pembangunan semula dilaksanakan secara adil, memberi manfaat kepada pemilik hartanah, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. RUU ini diperlukan untuk menangani isu bangunan usang di bandar-bandar utama.
RUU PSB ini berlandaskan tiga prinsip utama iaitu persetujuan pemilik, hak pemilik asal dan tempoh pembangunan yang jelas.
Persetujuan pemilik adalah asas utama sebelum sesuatu projek pembangunan semula dilaksanakan. RUU ini akan menetapkan ambang persetujuan baharu berdasarkan usia bangunan.





