PBAKL, PWTC dan KL Ibu Kota Buku Dunia
KUALA LUMPUR 6 Feb. – Beberapa nama penulis popular seperti Teme Abdullah serta Nadia Khan selain penulis daripada pelbagai penerbit buku, antaranya Lejen Press, Fixi, Iman Publication dan The Patriots bakal memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), bulan depan.
Pesta buku terbesar Asia Tenggara itu akan berlangsung dari 27 Mac hingga 5 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sejak 1991, acara pesta tersebut diadakan di PWTC dan tidak pernah berubah kecuali pada 2016 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Antara sebab mengapa PWTC sering menjadi pilihan adalah kedudukannya yang berada di tengah bandar raya Kuala Lumpur di samping terletak berhampiran laluan LRT.
Teme dalam ciapannya di Twitter memberi petunjuk akan menghadiri acara tersebut.
Nadia Khan pula mengesahkan akan melancarkan buku baharu berjudul Musketeers, sebuah prekuel kepada novel Gantung.
Buku itu diterbitkan oleh Fixi dengan setiap pembelian disumbangkan untuk pembikinan #GantungTheMovie dan tempahan bermula esok (7 Februari).
Selain itu, penulis yang popular dengan buku Lagenda Budak Setan, Ahadiat Akashah pula berkongsi pengalamannya sepanjang mengikuti PBAKL.
Memetik laporan portal I Am Lejen, Ahadiat meluahkan rasa gembiranya mengenai novel coretannya itu yang ‘susut dengan lajunya’ di atas rak disambar peminat dan itu merupakan kenangan paling manis buatnya.
Mengulas mengenai perkembangan budaya membaca sejak 10 tahun ini, beliau berpendapat, perkara itu nampak lebih positif.
“Kewujudan internet dan telefon pintar juga menjadikan pemilihan cara dan jenis pembacaan lebih meluas serta menjangkaui pelbagai genre yang tidak terdapat di dalam buku-buku konvensional.
“Ini adalah perkembangan baik bagi pemburu ilmu yang segalanya berada di hujung jari,” katanya.
Pesta buku kali ini paling happening kerana sejajar dengan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia untuk tahun ini, serta pelbagai buku dengan diskaun yang bakal menawan hati peminat buku.
Untuk mendapatkan kemas kini terbaru tentang PBAKL 2020, anda boleh pergi ke laman sosial rasmi PBAKL di Facebook, Instagram dan Twitter.