Coronavirus: 90,000 atau 1,975 dijangkiti?
BEIJING 26 Jan. – Seorang jururawat yang lengkap memakai baju pelindung serta topeng muka, dan merawat pesakit di Wuhan mendakwa 90,000 orang telah dijangkiti coronavirus di China.
Daily Mail melaporkan, jumlah tersebut jauh lebih banyak berbanding angka 1,975 yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Amaran oleh jururawat tersebut disuarakan ketika kerajaan China dituduh ‘memadamkan’ atau menyembunyikan kritikan terhadap cara mereka menangani penularan penyakit itu.
Coronavirus yang mula dikesan di negara ini dikatakan telah dijangkiti lebih 1,000 orang manakala 56 yang lain meninggal dunia selain merebak ke beberapa negara.
Bercakap melalui rakaman video dan tersebar dalam media sosial, jururawat berkenaan berkata: “Saya berada di kawasan di mana coronavirus bermula. Saya di sini untuk memberitahu kebenaran. Pada masa ini wilayah Hubei, termasuk kawasan Wuhan, malah China, 90,000 orang telah dijangkiti coronavirus.”
Walaupun China pada mulanya dipuji kerana ketelusan dalam menguruskan keadaan, pengkritik kini mendakwa bahawa pegawai kerajaan menyekat video di internet yang mendedahkan keadaan sebenar.
Bagaimanapun, laporan oleh jururawat itu telah dilihat hampir dua juta kali di YouTube. Dalam rakaman itu, dia memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak keluar dari rumah.
Dia berkata: “Kami tidak peduli apa yang dikatakan oleh kerajaan. Saya akan memberitahu anda melalui media sosial. Semua orang, sila sumbangkan topeng dan pakaian ke Wuhan. Pada masa ini sumber kita tidak mencukupi.