
KUALA LUMPUR: Kematian beberapa ekor kucing di kampus Universiti Malaya (UM) baru-baru ini berpunca serangan sekumpulan anjing liar.
Ia selepas siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing berkenaan adalah akibat serangan haiwan liar.
“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian ini pada 17, 20 dan 21 Disember lalu. Namun, tiada saksi insiden tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
“Aduan rasmi berhubung penganiayaan haiwan juga boleh dibuat menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar di pautan awa.dvs.gov.my bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan rasa tidak puas hati orang ramai mengenai kejadian kematian dua kucing yang didakwa didera dengan kejam.
Kejadian berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, di sini, dan perkongsian itu turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.