
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan separuh daripada 6,000 doktor yang berhenti dalam tempoh lima tahun lalu merupakan pegawai perubatan kontrak yang meletakkan jawatan untuk beralih kepada jawatan tetap.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran dalam X berkata, peletakan jawatan 3,200 pegawai perubatan (MO) tersebut adalah ‘sebahagian daripada prosedur ditetapkan’.
Beliau menjelaskan, sebahagian doktor berhijrah ke akademik dan masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.
“Walaupun demikian, isu penghijrahan bakat kekal menjadi cabaran besar dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan.
“Walaupun kami tidak dapat sepenuhnya menghalang MO dan pakar daripada berpindah ke sektor swasta, Kami memperkenalkan pelbagai strategi untuk mengekalkan mereka,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata seramai 6,417 pegawai perubatan tetap dan kontrak meletak jawatan antara 2019 hingga 2023.
KKM turut merekodkan peletakan jawatan 1,046 pakar perubatan dalam tempoh yang sama, dengan 63 daripadanya memilih untuk bersara awal.
Dalam hantaran itu, Dzulkefly berkata beberapa langkah jangka pendek dilaksanakan oleh kementerian untuk mengekalkan MO, termasuk pelarasan gaji, jadual kerja fleksibel, dan membenarkan amalan locum.
“Kami komited untuk terus meningkatkan keseimbangan kerja-hidup serta kebajikan keseluruhan profesional perubatan kami,” katanya.
Beliau juga berkata, kementerian mempunyai langkah jangka sederhana menerusi inisiatif ‘Rakan KKM Partnership’, yang disifatkan sebagai pemangkin perubahan untuk mengurangkan kadar penghijrahan tenaga kerja profesional kesihatan.