
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia berkerjasama Againstar House Sdn. Bhd. menganjurkan Festival Warisan Sabah 2024 yang berlangsung hari ini sehingga esok.
Program yang diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur itu mengetengahkan budaya dan tradisi Sabah dengan persembahan menarik seperti Tarian Sumazau, Tarian Magunatip dan demonstrasi seni kraf tangan seperti tenunan Rungus, anyaman rotan, dan ukiran kayu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, festival berkenaan bukan sahaja mempromosikan keindahan budaya Sabah tetapi turut menjadi platform menyatukan komuniti pelbagai latar belakang dan dengan penyertaan dari pelbagai pihak.
“Melalui budaya, masyarakat dapat disatukan tanpa mengira apa jenis bangsa dan agama kerana budaya itu yang membentuk masyarakat Malaysia hari ini.
“Kementerian berharap untuk melestarikan seni, tradisi dan nilai kebudayaan agar terus diwarisi generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan festival tersebut di Muzium Negara, di sini hari ini.
Penganjuran program itu juga menyaksikan pengunjung berpeluang menyertai aktiviti tarian dan kebudayaan yang diadakan seperti mencuba makanan asli Sabah, termasuk menyaksikan pertandingan membungkus kelupis.
Antara persembahan yang dijangka mendapat sambutan adalah cerita rakyat Lagenda Huminodun yang menceritakan mengenai warisan Sabah.
Dalam pada itu, Hasnol Zam Zam berkata, festival tersebut boleh dijadikan sebagai platform untuk orang ramai mengetahui sedikit sebanyak tentang budaya dan warisan Sabah.
“Orang ramai dijemput hadir ke festival ini untuk melihat sendiri keunikan budaya dan warisan orang Sabah.
“Mungkin tidak semua boleh pergi ke Sabah, jadi festival ini boleh ‘membawa Sabah’ lebih dekat kepada anda,” ujarnya.