
KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes Pamela Ling yang didakwa dilarikan tiga individu ketika dalam perjalanan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 9 April lalu.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, beliau mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk menubuhkan pasukan terbabit.
“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini untuk mengetahui perkembangan terkini siasatan kes,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau turut mengesahkan 16 orang dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
Razarudin berkata, polis juga masih menyiasat keterangan pemandu e-hailing yang mendakwa individu dipercayai melarikan Pamela di lokasi kejadian memakai uniform dan vest polis.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan untuk menentukan sekiranya suspek menyamar polis atau sememangnya anggota yang membuat onar.
“Yang itu memang kami tidak bertolak ansur selama ini. Siasatan kita mana-mana anggota terlibat samun atau kes culik, kita tuduh mahkamah, ada dalam sejarah polis,” katanya.
Pamela hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar pukul 1.30 petang hingga 2.10 petang.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan Pamela dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.







