PARIT BUNTAR: Konflik bersenjata di antara India dan Pakistan yang merupakan dua negara pengeksport utama beras boleh menjejaskan bekalan makanan ruji itu ke Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kedua-dua negara itu membekalkan hampir 30 peratus keperluan beras negara, termasuk beras putih dan Basmathi.
“Kestabilan politik serta ekonomi mereka penting untuk jaminan makanan di Malaysia. Kalau berlaku perang atau ketegangan yang jejaskan operasi pelabuhan atau infrastruktur penghantaran, ia boleh ganggu kemasukan beras ke negara kita.
“Sekarang bekalan masih stabil, tetapi kita tidak boleh leka,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian projek pembangunan benih padi sah, di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata, ketegangan antara India dan Pakistan kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Kedua-dua negara berjiran itu menempatkan angkatan tentera masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga selepas saling menuding jari berhubung serangan pengganas baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India.
Mohamad berkata, Malaysia kini bergantung kira-kira 38 peratus kepada India dan Pakistan bagi keperluan beras import dengan India membekalkan beras putih dan Pakistan pula dengan beras Basmathi.
“Campur kedua-duanya, jumlahnya sekitar 38 peratus dan jika situasi di rantau itu memuncak, pasti beri kesan langsung kepada kita, terutamanya dari segi harga dan kelangsungan bekalan,” katanya.
Menurutnya, dua tahun lalu, kemarau yang melanda India menyebabkan negara itu mengehadkan eksport beras putih, yang membawa kepada kenaikan harga beras di pasaran tempatan.
“Ini membuktikan betapa mudahnya pasaran kita terkesan akibat faktor luar. Sebab itu sekuriti makanan amat penting dan mesti diberi keutamaan,” katanya.
Katanya, kerajaan kini memperkukuh hubungan dengan negara pengeksport lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja sebagai langkah persediaan jangka panjang.
