KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak akan menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2026 bagi membuat semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, berhubung cabaran pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terdapat kemungkinan besar Malaysia tidak akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan memantau serta menilai kesan tarif AS secara menyeluruh sebelum sebarang semakan semula KDNK 2025 diumumkan.
“Semakan semula (KDNK) akan dilaksanakan secepat mungkin tanpa perlu menunggu hingga Belanjawan 2026. BNM telah memberi jawapan kepada Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC). Data sudah ada tetapi berdasarkan tarif yang dikenakan kepada Malaysia.
“Oleh itu, BNM perlu sedikit masa dan mendapatkan lebih data. Buat masa sekarang belum ada data terkini,” katanya pada sesi penggulungan sidang khas berkenaan isu tarif AS, di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, semakan KDNK 2025 akan diumumkan apabila terdapat kepastian lebih tinggi terhadap dasar pentadbiran baharu AS dan hasil rundingan dua hala berhubung tarif balas AS.
Bagaimanapun katanya, ketidakpastian berhubung unjuran tidak akan menjejaskan maklum balas dasar kerajaan, kekal fleksibel dalam pelaksanaan dasar berkaitan fiskal.
“Kerajaan akan terus menangani situasi berkenaan secara bersasar, berpandukan data termasuk pemantauan rapi terhadap penunjuk makroekonomi, dan perkembangan dasar perdagangan antarabangsa, bagi memastikan kestabilan ekonomi serta perlindungan kepada kumpulan yang terjejas,” katanya.
