BANGI: Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026-2030 akan dilancarkan pada awal tahun hadapan bagi memperkukuh inisiatif bantuan makanan dan jaringan keselamatan sosial negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelan itu sedang disiapkan berasaskan dapatan Konvensyen Food Bank Malaysia 2025.
Beliau menambah, dapatan tersebut adalah melalui input pelbagai pemegang taruh termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri, peruncit, hotel, sukarelawan dan agensi kerajaan.
“Kita menyasarkan berdasarkan dapatan konvensyen ini, untuk mengadakan sesi libat urus susulan dengan kadar segera.
“Sasaran kita adalah untuk hadir dengan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030 seawal tahun hadapan kerana ia dokumen penting untuk menetapkan hala tuju, sasaran capaian serta kerangka pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen itu di sini hari ini.
Armizan menjelaskan, pelan tindakan itu perlu menetapkan sasaran lima tahun dan mengenal pasti kumpulan yang masih tercicir daripada bantuan makanan terutama di kawasan tanpa liputan NGO.
Beliau menambah keperluan pendekatan bersepadu dengan kerajaan bagi memastikan program bank makanan lebih berkesan, seragam dan teratur serta disokong insentif yang kukuh.
“Dalam sesi libat urus, terdapat NGO yang mencadangkan bantuan peralatan atau pertimbangan insentif cukai.
“Bagi saya, kalau kita mahu kemukakan permohonan tersebut kepada kerajaan, lebih baik kita datang dengan dokumen lengkap yang memaparkan keberkesanan program, potensi masa depan dan keselarasan dengan agenda besar kerajaan,” katanya.
