
PETALING JAYA: Trend perjalanan dalam negara terus menunjukkan pertumbuhan apabila jumlah pelancong domestik meningkat 7.9 peratus pada suku kedua 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, jumlah pelancong domestik yang membuat perjalanan dengan sekurang-kurangnya satu malam penginapan meningkat kepada 29.6 juta orang daripada 27.4 juta orang pada suku kedua 2025.
Dalam tempoh sama, Malaysia merekodkan keseluruhan 76.9 juta pelawat domestik, meningkat 4.3 peratus berbanding 73.8 juta pelawat pada suku kedua tahun sebelumnya.
DOSM turut melaporkan jumlah pelawat domestik pada suku kedua 2026 meningkat 3.0 peratus berbanding suku pertama tahun ini.
Menurut DOSM, pertumbuhan perjalanan bermalam turut dapat dilihat pada perbandingan suku tahunan apabila jumlah pelancong domestik meningkat 7.8 peratus berbanding suku pertama 2026, menunjukkan permintaan terhadap aktiviti perjalanan dalam negara kekal kukuh.
Peningkatan itu turut disertai pertumbuhan perbelanjaan pelancongan domestik. Pada suku kedua 2026, perbelanjaan direkodkan sebanyak RM32.8 bilion, naik 12.3 peratus daripada RM29.2 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Namun, jika dibandingkan dengan suku pertama 2026, jumlah perbelanjaan tersebut susut 3.6 peratus daripada RM34 bilion.
Sementara itu, melawat saudara-mara dan rakan kekal sebagai tujuan utama perjalanan domestik, iaitu merangkumi 44.1 peratus. Ini diikuti oleh tujuan untuk membeli-belah (21.6 peratus) dan percutian (13.0 peratus).
“Secara keseluruhannya, prestasi suku kedua 2026 memperlihatkan permintaan pelancongan domestik yang terus berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan berterusan bilangan pelawat dan pelancong.
“Pertumbuhan perbelanjaan pelancongan meningkat 12.3 peratus, mengatasi pertumbuhan 4.3 peratus yang dicatatkan oleh peningkatan bilangan pelawat domestik, sekali gus menunjukkan peranan penting aktiviti pelancongan domestik dalam menyokong perbelanjaan pengguna serta aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan di dalam negara,” katanya dalam kenyataan.







