KUALA LUMPUR: Malaysia memohon jaminan daripada Thailand tiada haiwan dan produk haiwan disyaki dari kawasan berisiko tinggi antraks dieksport ke negara ini.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, Malaysia bebas penyakit antraks sejak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia pada 1976.
Katanya, DVS memandang serius wabak itu susulan satu kematian manusia 1 Mei lalu seperti dilaporkan Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, yang dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di daerah Don Tan, wilayah Mukdahan, timur laut Thailand.
“Thailand turut dimohon memberikan status semasa, langkah diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan di negara itu serta pelan pencegahan mengenai penyakit antraks.
“Ini berikutan Malaysia mengimport ternakan hidup, iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan memasuki negara ini perlu melalui proses pemeriksaan veterinar ketat sebelum dibenarkan masuk,” katanya dalam kenyataan.
Penyakit antraks disebabkan bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik, iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan membawa maut.
DVS berkata, penyakit itu boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora dihasilkan bakteria Bacillus anthracis.
“Antraks boleh menyebabkan kadar kematian tinggi pada haiwan ternakan dan antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut serta demam tinggi.”
DVS meminta penternak melaporkan segera kepadanya jika mengesan sebarang tanda itu dan menyeru penternak meningkatkan tahap biosekuriti ladang, khasnya menjelang hari raya korban akan datang.
