
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mencapai sasaran 100 peratus melalui Akta Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dengan sebanyak 512,518 wanita mencarum akta tersebut, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso, Kasthuri Patto berkata jumlah itu membabitkan nilai keseluruhan caruman sebanyak RM61.5 juta.
Katanya, melalui akta tersebut, mereka hanya mencarum sebanyak RM120 setahun dan akan menerima manfaat seperti perlindungan bencana domestik sekiranya kemalangan atau insiden ketika menjalankan tanggungjawab dan urusan di rumah.
“Meskipun akta berkenaan menyatakan mengenai suri rumah, ia turut terbuka kepada wanita bujang, sudah bercerai, kehilangan suami, ibu tunggal serta wanita bekerjaya.
“SKSSR turut melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran. Faedah perlindungan bencana domestik termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis serta pencen penakat.
“Selain melindungi wanita yang ditimpa kemalangan atau kecederaan lain ketika sedang bercuti dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
SKSSR adalah cetusan idea daripada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2018.
Sementara itu, Kasthuri berkata setakat November lalu, Perkeso meluluskan sebanyak 2,019 kes tuntutan dengan faedah bernilai RM3.9 juta membabitkan suri rumah yang mendaftar sebagai pencarum SKSSR.
“Antara tuntutan paling tinggi adalah kemalangan ketika menguruskan rumah tangga, faedah keilatan dan kematian.
“Meskipun jumlah suri rumah yang mencarum mencecah setengah juta, itu hanyalah 16.5 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan berkenaan.
“Masih terdapat 2.6 juta golongan berkenaan belum mendaftar bagi mendapatkan perlindungan,” katanya.
Kasthuri berkata Selangor menjadi negeri tertinggi pendaftaran pencarum sukarela dengan 13,546, diikuti Johor (6,847) dan Perak (4,853).
“Bagi mencarum dengan inisiatif kerajaan, paling tinggi adalah di Sabah dengan 88,034, diikuti Sarawak (87,775) dan Kelantan (67,755),” ujarnya.