
SUNGAI BULOH: TEKUN Nasional memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi memperkasakan dan memperkukuh lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, kedua-dua inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan hampir 5,000 usahawan India.
Katanya, ia juga bertujuan bagi mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
“Kalau kita lihat, sebelum ini bajet (SPUMI) yang ditetapkan (dalam Belanjawan 2025) ialah RM30 juta sahaja tetapi Perdana Menteri telah menugaskan saya untuk menjaga hal-hal komuniti India dengan meningkatkan dan memperbanyakkan inisiatif tahun ini,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena sambutan Ponggal di Kuil Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Karumariamman di sini hari ini.
Ramanan berkata, sejumlah RM50 juta daripada dana itu akan disalurkan melalui Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big dan RM50 juta lagi melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
“Jadi sebagai permulaan, TEKUN melalui dana dalaman (internal fund) mereka akan tambah RM70 juta lagi, menjadikan peruntukan keseluruhan SPUMI ialah RM100 juta tahun ini iaitu satu angka terbesar untuk komuniti India sejak 2008,” katanya.