
KUALA LUMPUR: 700,000 penerima miskin dan miskin tegar akan mula menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai esok.
Mulai tahun ini juga, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya, berkata kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan membolehkan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun ini, berbanding RM1,200 pada tahun lalu.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025, manakala mulai April ini, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata SARA ialah pendekatan bantuan bersasar dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi Madani, penyusunan semula kewangan kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.
“Kerajaan komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah program SARA, penerima manfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad masing-masing di 1,200 kedai-kedai runcit berdaftar di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun lalu.
Penerima SARA juga boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas.
Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
MOF berkata, selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR pula akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025.
“Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.
“Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan, kata kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangaan sama, pihak kementerian turut menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk maklumat mengenai program berkenaan.