
KUALA LUMPUR: Penjimatan daripada pemberian tol percuma boleh digunakan untuk memberi lebih banyak subsidi kepada rakyat.
Hal ini kerana, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi top setiap kali diskaun atau tol percuma diberikan kepada rakyat dalam setiap musim perayaan.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, kerajaan dapat menjimatkan dana sebanyak RM190 juta setiap tahun jika pemberian tol percuma dimansuhkan.
“Memang benar, pemberian tol percuma dapat mengurangkan sedikit beban masyarakat menjelang perayaan kerana belanja untuk raya itu sendiri sudah melibatkan kos yang banyak.
“Namun, kita perlu lihat dari sudut jangka Panjang mengenai apa peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk beri tool percuma itu boleh lakukan.
“Jika kerajaan tidak beri tol percuma, mereka tidak perlu bayar pampasan kepada syarikat konsesi tol, jadi duit itu boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih menyeluruh.
“Sebagai contoh, menaik taraf sistem pengangkutan negara yang sememangnya amat perlu ditingkatan, bina lebih banyak kemudahan awam untuk kegunaan rakyat,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan mungkin tidak lagi akan memberikan kemudahan tol percuma bagi musim perayaan dan menyatakan 2024 adalah tahun terakhir pemberian tersebut.
Alexander Nanta pada Selasa laluberkata, ketetapan itu dibuat menerusi Kabinet pada tahun lalu.
Menurutnya, ini kerana pemberian tersebut tidak bertepatan dengan dasar pemberian subsidi kepada golongan bersasar seperti yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh kerajaan, namun tidak menolak sekiranya terdapat perbincangan lain.
Menerui perbincangan Kabinet pada Jumaat lepas, kerajaan kemudiannya mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peritus sempena musim perayaan.
Dalam pada itu, Bashir berkata, peruntukan tol itu juga bleh digunakan untuk pemberian subsidi tiket bas kepada masyarakat golongan B40 dan M40 yang memerlukan.
“Subsidi tiket bas ini juga boleh ringankan beban masyarakat untuk pulang ke kampung bagi menyambut perayaan.
“Malah, ia boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat, dan tidak hanya melibatkan golongan yang mempunyai kenderaan semata-mata. Itu lebih adil dan menyeluruh,” katanya.
Jelas beliau, langkah penamatan pemberian tol percuma ini perlu diimbangi dengan pelaksanaan kemudahan rakyat supaya ia lebih bersifat telus dan komprehensif.
“Dengan itu, rakyat akan lebih percaya kerajaan yang sentiasa membantu mereka dalam mensejahterakan kehidupan,” ujarnya.