
PUTRAJAYA: Tindakan saman terhadap pegawai penjara termasuk berhubung dakwaan makanan penjara tidak sedap menjadi antara faktor Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan pindaan Akta Penjara bagi memberi perlindungan kepada petugas yang menjalankan tugas mengikut undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan itu bukan bertujuan memberikan imuniti atau kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara, sebaliknya melindungi mereka yang bertindak dengan suci hati serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Menurutnya, pegawai penjara sering berdepan pelbagai tindakan undang-undang walaupun mereka hanya melaksanakan keputusan mahkamah atau menjalankan tanggungjawab mengikut peraturan.
“Pernah juga pegawai penjara disaman kerana makanan di penjara didakwa tidak sedap. Selain itu, jika berlaku hukuman sebat yang diputuskan mahkamah dan prospek meninggal dunia selepas hukuman dilaksanakan, pengarah penjara tetap disaman.
“Begitu juga apabila prospek meninggal dunia ketika tidur. Walaupun laporan perubatan mengesahkan tiada unsur salah laku, pegawai penjara masih diheret ke mahkamah,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Beliau berkata, pegawai penjara turut berdepan dilema apabila perlu bertindak terhadap prospek yang mengancam keselamatan petugas atau penghuni lain kerana tindakan mempertahankan diri juga boleh mengundang tindakan undang-undang.
Jelasnya, situasi tersebut menunjukkan keperluan untuk meminda Akta Penjara supaya pegawai yang menjalankan tugas dengan suci hati mendapat perlindungan sewajarnya.
Saifuddin berkata, cadangan pindaan itu kini berada pada peringkat libat urus bersama semua pihak berkepentingan sebelum dibentangkan semula di Dewan Rakyat.
Katanya, KDN juga akan memperhebat usaha memberi penjelasan kepada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli Parlimen yang masih menyalah tafsir cadangan tersebut sebagai usaha memberikan kekebalan undang-undang kepada Jabatan Penjara.
“Cadangan ini hanya melibatkan elemen perlindungan kepada pegawai yang bertindak secara suci hati atau in good faith ketika melaksanakan amanah mengikut undang-undang, bukannya memberikan imuniti daripada tindakan undang-undang,” katanya.






