
KULAI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) belum menerima sebarang rayuan daripada Network School selepas lesen perniagaan syarikat itu dibatalkan minggu lalu, sekali gus menyaksikan operasinya kekal dihentikan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, sehingga kini tiada sebarang permohonan rayuan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pembatalan lesen tersebut.
“Lesen sudah dibatalkan sepenuhnya. Mudahnya, operasi mereka kini adalah tidak sah. Sekiranya mereka menubuhkan syarikat baharu dan memenuhi semua syarat yang ditetapkan, sudah tentu permohonan boleh dipertimbangkan. Namun setakat ini tiada sebarang rayuan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kerjaya Perbandaran Kulai 2026 di Dewan Raya Putra, Bandar Putra di sini hari ini.
Menurutnya, keputusan MBIP itu dibuat selepas pihaknya mengesan dua pelanggaran jelas terhadap syarat pelesenan oleh syarikat berkenaan.
Katanya, kesalahan pertama melibatkan penggunaan iklan yang tidak mematuhi syarat lesen, manakala kesalahan kedua ialah ketidakselarasan antara lesen yang dipohon dengan aktiviti sebenar yang dijalankan di premis berkenaan.
“Lesen yang dipohon berbeza dengan operasi sebenar syarikat dan perkara itu merupakan satu pelanggaran syarat pelesenan,” katanya.
Namun, Mohd. Jafni menegaskan Johor kekal mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan komited mengekalkan imej negeri itu sebagai destinasi pelaburan yang mesra pelabur.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, sebarang tindakan terhadap pemilik syarikat adalah di bawah bidang kuasa Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.
Rabu lalu, MBIP menutup dan menyita premis Network School di Forest City, Iskandar Puteri selepas sehari sebelumnya mengumumkan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School).
Tindakan itu berkuat kuasa pada 22 Julai lalu selepas syarikat berkenaan didapati melanggar beberapa syarat pelesenan, sekali gus diarahkan menghentikan semua aktiviti operasinya.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini memaklumkan keputusan tersebut dibuat susulan Mesyuarat Penuh Khas MBIP yang mendapati syarikat itu gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah lesen perniagaan yang dikeluarkan.





