
KUALA LUMPUR: Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix tahun ini membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan gantian GP Bahrain di Sepang bukan sekadar acara sukan permotoran, sebaliknya mencerminkan hubungan persahabatan, kepercayaan serta kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain.
Pada masa yang sama, beliau menambah, ia turut mengukuhkan keyakinan dunia terhadap kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah kepada acara-acara antarabangsa berprestij.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Bahrain merangkap Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.
“Saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Yang Mulia Putera Mahkota, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.
“Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, semua pasukan perlumbaan serta para peminat dari seluruh dunia ke Litar Antarabangsa Sepang.
“Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra rakyat Malaysia, di samping terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara menerusi penganjuran istimewa ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.







