
PERAK: Karnival Bijak Tenaga (KBT) 2026 melakar kejayaan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya sekali gus melepasi sasaran awal seramai 5,000 pengunjung.
Penganjuran Karnival Bijak Tenaga 2026 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang berlangsung pada 25 hingga 26 Julai 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak itu merupakan antara acara utama sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun ST.
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, Mareena Mahpudz berkata, karnival berkenaan diadakan bertujuan menerapkan pemahaman lebih tinggi kepada masyarakat tentang pengurusan tenaga supaya tenaga dapat diuruskan dengan lebih bijak, cekap dan berhemah.
“Pada kebiasaannya, karnival seperti ini tertumpu di zon tengah tetapi untuk Karnival Bijak Tenaga 2026, kita adakan di Perak supaya masyarakat setempat dapat pengetahuan yang lebih tentang pengurusan tenaga.
“Kita tahu bahawa sekarang ini kos sara hidup semakin meningkat dan perlu bijak dalam menguruskan tenaga terutama penggunaan elektrik,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Bijak Tenaga 2026.
Karnival itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Hadir sama ialah Pengerusi ST, Datuk Seri Asri Hamidon dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Siti Safinah Salleh.
Mareena kemudiannya menjelaskan, Pencarian Wira Bijak Tenaga 2026 yang merupakan pertandingan literasi tenaga peringkat kebangsaan telah diadakan oleh ST bertujuan melahirkan generasi muda yang lebih peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap penggunaan tenaga secara cekap, selamat dan lestari.
“Saya mendapati generasi muda ini sangat aktif dan proaktif malah mendapat penyertaan mencecah 62,880 dari seluruh negara.
“Kami tidak sangka sama sekali penyertaan begitu tinggi daripada sekolah rendah dan menengah ini,” ujarnya.
Mareena berharap pertandingan berkenaan dapat diperluaskan dan memperkenalkan lebih banyak kategori-kategori dari segi inovasi, kreativiti dan sebagainya pada masa hadapan.
Sementara itu, Mohammad Nizar ketika membacakan teks ucapan Saarani berkata, tema Karnival Bijak Tenaga 2026 iaitu ‘Moh Kome, Bijak Guna Tenaga!’ amat dekat dengan jiwa rakyat Perak.
“Ia menyeru kita semua untuk cakna mengenai penggunaan tenaga yang cekap dan selamat.
“Antara naratif utama program ini yang saya lihat begitu dekat dengan rakyat adalah mengenai kecekapan tenaga.
“Dalam masa yang sama, karnival ini turut memfokuskan kepada keselamatan elektrik dan gas berpaip,” katanya.
Mohammad Nizar menambah, mesej yang disampaikan melalui program Karnival Bijak Tenaga 2026 meliputi semua naratif yang perlu disampaikan kepada awam.
Katanya, melalui pendekatan didik hibur, pameran interaktif dan demonstrasi yang disediakan sepanjang karnival, beliau berharap mesej-mesej tersebut dapat diterapkan secara berkesan di setiap peringkat masyarakat dan warga negeri Perak khususnya.
Disediakan Unit Komunikasi Korporat (UKK) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)





