
IPOH: Penganjuran Karnival Bijak Tenaga 2026 berjaya membuka mata masyarakat mengenai kepentingan mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap, selamat dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Karnival yang berlangsung bermula hari ini, 25 Julai 2025 sehingga 26 Julai 2026 ini merupakan anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Rata-rata pengunjung menyifatkan karnival itu membuka perspektif baharu bahawa penjimatan tenaga bukan sekadar memadamkan peralatan elektrik yang tidak digunakan, malah melibatkan pelbagai amalan bijak bagi mengurangkan pembaziran dan menjimatkan kos.
Seorang pengunjung, Shafie Wan Ahmad, 46, berkata, Karnival Bijak Tenaga 2026 bukan sahaja menjadi lokasi riadah bersama keluarga, malah dapat memberi pendedahan mengenai penggunaan elektrik secara betul.
Malah katanya, program itu memberi peluang kepada golongan muda khususnya kanak-kanak, mempelajari perkara baharu secara interaktif dan menyeronokkan.

“Sebelum datang ke sini, saya ingat amalan menjimatkan elektrik hanya sekadar mematikan suis apabila tidak digunakan.
“Bagaimanapun, saya kini sedar ia turut bergantung kepada pemilihan peralatan elektrik yang cekap tenaga, penggunaan penghawa dingin dengan cara yang betul dan pengurusan masa penggunaan elektrik secara lebih bijak,” katanya ketika ditemui pada Karnival Bijak Tenaga 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Bagi pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Mohd. Syamil Sahimi, 19, Karnival Bijak Tenaga 2026 berjaya menyampaikan ilmu mengenai penggunaan tenaga dengan pendekatan yang santai dan mudah difahami, sekali gus lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Katanya, pendedahan yang diberikan mengaitkan penggunaan tenaga dengan aktiviti harian seperti penggunaan penyaman udara, lampu dan peralatan elektrik, sekali gus memudahkan orang ramai memahaminya dengan lebih baik.

“Saya tertarik apabila isu tenaga yang teknikal disampaikan dengan lebih santai dan dikaitkan dengan penggunaan harian atau aktiviti harian kita.
“Kalau untuk saya, ‘pocket talk’ menarik minat kerana aktiviti itu lebih santai dan lebih dekat untuk anak-anak muda memahami isu penggunaan tenaga secara berhemah,” katanya.
Menurut pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah, Nur Auni Daaniys Mohamad Jaafar, 13, pelbagai kuiz dan permainan interaktif yang disediakan menjadi tarikan utama karnival itu kerana penyampaian mengenai penjimatan tenaga dibuat secara menyeronokkan dan tidak membosankan.
“Saya suka kuiz di sini dan ada macam-macam permainan. Lagi satu, cara dia ajar untuk jimat tenaga pun tidak membosankan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Strategi dan Hal Ehwal Korporat, ST , Nurhafiza Mohamed Hassan berkata, Karnival Bijak Tenaga 2026 yang berlangsung selama dua hari di Stadium Indera Mulia diadakan bersempena sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 penubuhan ST.
Katanya, konsep edutainment yang diterapkan pada program itu menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan bagi menyampaikan ilmu berkaitan tenaga secara santai dan menarik kepada masyarakat.
“Program ini disusun untuk semua peringkat umur dengan pelbagai aktiviti termasuk Pertandingan Wira Bijak Tenaga yang dikhususkan untuk kanak-kanak dan pendedahan berkaitan kerjaya TVET ST kepada golongan remaja.
“Bagi golongan dewasa pula, peserta berpeluang mendapatkan perkongsian mengenai keselamatan dan kecekapan tenaga selain latihan kompetensi berkaitan kerja-kerja pendawaian di rumah,” katanya.






