
KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung insiden letupan bom tangan yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun pada 16 Jun lalu mendapati tuas keselamatan bom tangan dipercayai terlepas sebelum balingan dilakukan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis terhadap corak kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa.
Katanya, hasil siasatan menunjukkan bom tangan berkenaan mula berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas anggota terbabit.
“Corak kecederaan yang dialami kedua-dua anggota adalah selaras dengan dapatan bahawa grenad telah mula berfungsi sebelum sempat dibaling.
“Grenad tersebut mempunyai beberapa lapisan keselamatan iaitu klip keselamatan, pin keselamatan dan tuas keselamatan. Grenad hanya mula berfungsi apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badan grenad dan akan meletup dalam tempoh kira-kira lima saat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh cedera parah pada bahagian kepala, badan serta anggota sebelah kiri.
Namun, tiada saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan pihak penyiasat tidak dapat memastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas.
Mohamed Khaled berkata, TDM menubuhkan Lembaga Siasatan sehari selepas kejadian bagi meneliti semua aspek teknikal, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta mendapatkan keterangan daripada saksi.
“Hasil siasatan itu kemudiannya melalui semakan di beberapa peringkat pemerintahan Tentera Darat sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan.
“Dalam proses tersebut, keterangan daripada saksi berkaitan turut diperoleh bagi mengukuhkan dapatan siasatan,” katanya.
Susulan insiden itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian bom tangan, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya, keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan dan kementerian tidak akan berkompromi dalam memastikan setiap latihan dilaksanakan dengan pematuhan serta tahap keselamatan yang tertinggi.
Dalam kejadian pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut selepas mengalami kecederaan parah akibat letupan bom tangan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.





