
PORT DICKSON: Kerajaan tidak mendedahkan lebih awal laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) kerana bimbang tindakan itu menjejaskan keyakinan pendeposit dan mengganggu kestabilan institusi berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika kerajaan mengambil alih pentadbiran, TH berdepan masalah kewangan yang serius termasuk kerugian melebihi RM10 bilion akibat penyelewengan.
Katanya, jika laporan itu didedahkan ketika kedudukan TH masih belum stabil, ia dikhuatiri mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga berlaku pengeluaran simpanan secara besar-besaran.
“Ramai yang mempertikaikan mengapa laporan RCI itu tidak diterbitkan lebih awal. Ketika itu saya berpendapat kita tidak mampu berbuat demikian kerana jika rakyat hilang keyakinan terhadap Tabung Haji dan mengeluarkan simpanan mereka secara beramai-ramai, institusi itu boleh lumpuh.
“Namun, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pengurusan TH telah berubah. Pengerusinya sekarang, Tan Sri Rashid Hussain mempunyai rekod pengurusan yang cemerlang dan Tabung Haji kini kembali berada pada landasan yang lebih kukuh.
“Justeru, rakyat perlu mengetahui perkara sebenar yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Anwar memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Menurut beliau, keputusan berhubung penerbitan laporan tersebut akan dimuktamadkan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan dijangka diumumkan selewat-lewatnya Rabu depan.







