
SHAH ALAM: Nombor pendaftaran kenderaan istimewa H1 mencuri perhatian selepas bidaannya dilaporkan mencecah RM10.7 juta sebaik tempoh bidaan siri khas H Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berakhir semalam.
Bagaimanapun, JPJ setakat ini belum mengesahkan secara rasmi sama ada RM10.7 juta itu merupakan nilai bidaan yang berjaya bagi nombor berkenaan.
Angka berkenaan mula tersebar di media sosial hari ini selepas bidaan bagi siri H1 hingga H9999 ditutup, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna yang terkejut dengan jumlah dipaparkan.
Antara hantaran yang tular turut memaparkan tiga nilai bidaan bagi H1 iaitu RM10.7 juta, RM666,666 dan RM555,777.
Sehubungan itu, angka RM10.7 juta berkenaan masih dianggap sebagai maklumat belum disahkan sehingga keputusan rasmi dikeluarkan JPJ.
Siri H dibuka untuk bidaan menerusi sistem JPJeBid dari 16 hingga 20 September lalu, membabitkan nombor H1 hingga H9999.
Keputusan bidaan pula dijadualkan diumumkan hari ini.
Menurut JPJ, keputusan rasmi bidaan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas bidaan ditutup, tertakluk kepada proses transaksi dengan pihak bank.
Pembida akan menerima keputusan sama ada berjaya atau gagal menerusi e-mel serta peti masuk akaun JPJeBid masing-masing.
Siri nombor pendaftaran khas itu dilancarkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pada 14 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.
Sebelum ini, Aedy Fadly berkata, siri H mempunyai nilai istimewa kerana ia adalah siri awalan satu huruf terakhir yang akan ditawarkan JPJ dan kerajaan.
Menurut beliau, siri berkenaan sangat istimewa dan orang ramai digalakkan mengambil peluang membida nombor pilihan kerana JPJ tidak akan menawarkan lagi siri satu huruf selepas ini.
Huruf H dipilih bagi melambangkan ‘harmoni’ atau keharmonian, sejajar dengan mesej perpaduan yang dikaitkan dengan sambutan Hari Malaysia.
JPJ turut menjelaskan siri H berbeza daripada nombor pendaftaran teksi yang menggunakan huruf H bersama kod negeri, seperti HA bagi teksi yang didaftarkan di Perak.
Sistem JPJeBid juga tidak menetapkan had maksimum jumlah bidaan, sekali gus memberi ruang kepada pembida menawarkan nilai tinggi bagi nombor yang dianggap eksklusif atau mempunyai nilai sentimental.
Bagaimanapun, hanya keputusan rasmi yang dikeluarkan menerusi JPJeBid menentukan pembida yang berjaya.
Jumlah yang dipaparkan sepanjang proses bidaan atau dikongsikan di media sosial pula tidak semestinya menjadi harga akhir yang dimenangi.




