
KUALA LUMPUR: Tempoh menunggu giliran menunaikan ibadah haji berpotensi dipendekkan hampir separuh, daripada 147 tahun kepada sekitar 68 tahun menerusi pelaksanaan Seruan Istito’ah yang menekankan tahap kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah.
Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, berdasarkan sistem giliran ketika ini, pendeposit yang baharu memperoleh kelayakan haji berdepan tempoh menunggu melebihi 100 tahun.
Namun, TH menjelaskan tempoh berkenaan bukan angka tetap kerana ia bergantung kepada kuota haji tahunan Malaysia, jumlah pendeposit dalam senarai giliran serta faktor pengurusan haji dari semasa ke semasa.
“Berdasarkan anggaran semasa TH, pelaksanaan Seruan Istito’ah berpotensi mengurangkan tempoh menunggu daripada 147 tahun kepada sekitar 68 tahun,” menurut TH dalam maklum balas kepada Kumpulan Media Prima yang dilaporkan Berita Harian.
Menurut TH, unjuran itu mengambil kira jumlah pendaftar yang tinggi berbanding kuota haji Malaysia yang terhad setiap tahun.
Bagaimanapun, angka 68 tahun itu hanyalah anggaran dan boleh berubah berdasarkan jumlah pendeposit yang memenuhi syarat, kuota haji serta perkembangan semasa pengurusan haji.
TH turut menegaskan pelaksanaan Seruan Istito’ah bukan jaminan seseorang pendeposit akan menerima tawaran haji dalam tempoh 68 tahun, sebaliknya bertujuan memastikan sistem giliran lebih mencerminkan tahap kesiapsiagaan sebenar bakal jemaah.
Keperluan menyusun semula giliran berdasarkan kesiapsiagaan kewangan dilihat penting apabila lebih 80 peratus daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang sudah mendaftar haji masih mempunyai simpanan kurang RM15,000.
Menurut TH, keadaan itu menunjukkan sebahagian besar pendeposit sudah mempunyai giliran, namun simpanan mereka masih belum mencapai tahap diperlukan bagi membuat persediaan kewangan apabila tiba masa menerima tawaran menunaikan haji.
Mulai 1 Januari 2029, kelayakan giliran haji akan disusun semula dengan mengambil kira pematuhan syarat simpanan minimum RM15,000.
Ini bermakna kedudukan lebih awal dalam senarai giliran tidak semestinya mencerminkan seseorang pendeposit benar-benar bersedia dari segi kewangan untuk menunaikan haji.
TH berkata, penyusunan berkenaan turut bertujuan mengurangkan keadaan apabila tawaran haji perlu diberikan semula kerana bakal jemaah yang tiba gilirannya masih belum mempunyai persediaan kewangan mencukupi.
“Matlamat akhirnya ialah memastikan giliran bukan sekadar tentang menunggu lebih lama, tetapi tentang bersedia lebih awal,” menurut TH.
Bagi pendeposit yang sudah mendaftar haji, tempoh sehingga 31 Disember 2028 diberikan untuk mencapai simpanan minimum RM15,000 secara berperingkat.
Selepas tempoh itu, sistem giliran dijangka lebih mencerminkan jumlah bakal jemaah yang benar-benar memenuhi tahap persediaan kewangan ditetapkan.
Menerusi Seruan Istito’ah, TH memperkenalkan syarat simpanan minimum RM15,000 sebagai kelayakan giliran haji secara automatik.
Mulai 1 Januari 2029, kelayakan giliran akan disusun semula berdasarkan pematuhan syarat berkenaan, namun prinsip ‘yang dahulu didahulukan’ masih dikekalkan dalam kalangan pendeposit yang memenuhi syarat.
TH menjelaskan jumlah RM15,000 ditetapkan sebagai ukuran asas kesiapsiagaan simpanan bagi mencapai istito’ah kewangan dan bersamaan kadar asas bayaran haji semasa bagi kumpulan B40.
Keperluan baki minimum RM15,000 sebenarnya sudah mula digunakan pada 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji.
Langkah itu membantu mengurangkan kadar penangguhan tawaran kepada 18 peratus berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.
Bagi musim haji 1448H/2027M, TH turut mengekalkan kos haji pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut, selain meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada kumpulan B40 dan M40.





