
PUTRAJAYA: Keputusan pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk pelaksanaan tahanan rumah tidak mengubah pendirian kerajaan dalam memerangi rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal berpegang pada prinsip negara hukum dan memastikan semua kes rasuah diurus mengikut proses yang ditetapkan.
Beliau berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu adalah dalam bidang kuasa Baginda seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.
“Saya selaku Perdana Menteri, tugas saya memberi nasihat tentang implikasi undang-undang, kestabilan negara, soal prinsip negara hukum dan juga mengikuti nasihat dan panduan yang ditulis lengkap dan panjang oleh Peguam Negara.
“Tapi akhirnya Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, di Istana Negara hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata keputusan berkenaan tidak bermakna kerajaan akan berkompromi terhadap usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata, semua kes termasuk membabitkan kes Najib yang masih berjalan perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.
“Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah, negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan dan dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum,” katanya.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan memandang ringan sebarang salah laku atau salah guna kuasa bagi tujuan memperkayakan mana-mana pemimpin atau rakyat.





