
KUALA LUMPUR: Pengasas dan Penasihat AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan laporan mengenai kerajaan menyediakan pelan kontingensi sekiranya syarikat penerbangan tambang rendah itu mengalami kejatuhan sebagai tidak masuk akal.
Menurutnya, laporan yang mendakwa syarikat penerbangan tempatan lain mungkin menyerap rangkaian dan penumpang AirAsia itu tidak pernah dinyatakan oleh kerajaan.
“Bagaimana anda mahu menggantikan 100 pesawat di Malaysia? Anda tidak boleh. Pertama sekali, anda perlu mempunyai struktur kos, jenama, pasaran, rangkaian dan perjanjian sambungan penerbangan kami.
“Saya terkejut perkara itu dijadikan tajuk utama,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan perniagaan kumpulan itu, hari ini.
Fernandes berkata, pembiayaan yang sedang diusahakan kumpulan berkenaan bertujuan mengurangkan struktur kos dan bukannya petanda AirAsia menuju kebankrapan.
Kenyataan itu susulan laporan Reuters baru-baru ini yang mendakwa kerajaan bertanya kepada Malaysia Airlines dan Batik Air sama ada kedua-duanya mampu menyerap laluan domestik serta penumpang AirAsia sebagai sebahagian daripada perancangan senario.
Langkah itu dikatakan dibuat ketika pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan berkenaan.
Bagaimanapun, laporan tersebut turut menyatakan perbincangan berkenaan tidak menghasilkan sebarang keputusan untuk mengambil alih operasi AirAsia.
Dalam perkembangan berkaitan, Fernandes mengakui AirAsia Group berdepan suku kedua yang mencabar susulan konflik Amerika Syarikat-Iran di Timur Tengah yang menyebabkan harga bahan api jet melonjak melebihi AS$200 setong.
Katanya, keadaan itu memberi tekanan kepada kumpulan berkenaan berikutan tiket penerbangan telah dijual berdasarkan andaian harga bahan api sekitar AS$85 setong.
Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai menunggu keputusan kewangan suku ketiga yang menurutnya akan memberikan gambaran mengenai jumlah tunai dimiliki kumpulan itu serta kedudukan kecairannya.
Fernandes berkata, AirAsia Group berada pada landasan untuk membawa 60 juta penumpang tahun ini, sebelum menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 80 juta penumpang tahun depan.
Setakat suku kedua tahun ini, kumpulan berkenaan telah membawa 43 juta penumpang.
“Kami hanya perlu menyesuaikan struktur kos dan tambang dan menjelang akhir suku ketiga, kedudukan kecairan akan kembali bertambah baik.
“Ini adalah satu proses penyesuaian. Jika harga minyak kekal pada paras ini, semua syarikat penerbangan perlu melakukan penyesuaian,” katanya.






