
JAKARTA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh ahli parti supaya menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan susulan keputusan membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, UMNO menyambut perkembangan tersebut dengan penuh kesyukuran, selain menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan Seri Paduka Baginda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, perkembangan itu amat bermakna buat Najib dan keluarganya, selain seluruh keluarga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan serta menitipkan doa.
Katanya, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berhubung perkara itu dengan penuh tertib dan rendah hati menerusi saluran yang ditetapkan.
“Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, limpah ihsan Yang di-Pertuan Agong itu membawa kelegaan besar kepada Najib dan keluarganya serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan berkenaan dengan rasa syukur, di samping menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara. Daulat Tuanku,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.




