
KUALA LUMPUR: Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta di sini menjadi tumpuan pengamal media hari ini susulan keputusan berkaitan baki hukuman penjara beliau.
Lebih 30 pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di pekarangan kediaman berkenaan sejak pukul 10 pagi bagi membuat liputan perkembangan terkini.
Tinjauan mendapati tiada pergerakan keluar atau masuk di kediaman berkenaan setakat pukul 12.20 tengah hari, manakala anggota polis turut ditempatkan di lokasi bagi mengawal keadaan dan keselamatan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.
Ketetapan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini.
Perkembangan itu turut menjadi perhatian selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik hantaran ringkas ‘Alhamdulillah’ di media sosial.
Hantaran berkenaan dibuat ketika perkembangan di Istana Negara menjadi perhatian susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Namun, Asyraf Wajdi tidak menjelaskan perkara yang dirujuk menerusi hantaran tersebut.
Kronologi kes SRC International
8 Ogos 2018 – Najib didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
10 Ogos 2018 – Beliau didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.
13 Disember 2018 – Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan tujuh pertuduhan.
11 November 2019 – Perbicaraan bermula dan berlangsung selama 58 hari.
3 Disember 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua pertuduhan.
11 Mac 2020 – Najib mula membela diri dengan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding selama 33 hari.
1 Jun 2020 – Pihak pembelaan menutup kes.
28 Julai 2020 – Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International.
2 Februari 2024 – Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan denda RM50 juta.
23 Ogos 2026 – Najib dijadualkan dibebaskan daripada hukuman bagi sabitan kes SRC, namun tempoh pemenjaraan boleh ditambah setahun sekiranya gagal membayar denda.
11 September 2026 – Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diadakan.
18 September 2026 – Keputusan berkaitan pengampunan bersyarat dan pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah diumumkan.





