
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan telah menerima dua notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, notis berkenaan dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) dan subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966, masing-masing pada Selasa dan Rabu lepas (22 dan 23 Sept).
“PN mengambil maklum keputusan RoS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia, demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya.
“Sehubungan itu, PN menyeru ahli-ahli dan penyokongnya agar bertenang kerana perkara ini sedang diuruskan dengan sebaiknya.
“PN akan memberikan maklumat serta dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, PN mengeluarkan perintah larangan (gag order) berkuatkuasa serta merta kepada mana-mana pihak dari mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.
Terdahulu, RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis yang dikeluarkan terhadap PN bukan keputusan membatalkan pendaftaran parti itu tetapi memberi ruang kepada PN menjelaskan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).






