
DUNGUN: Berniaga sambil bersedekah menjadi amalan seorang suri rumah di Kampung Minda di sini yang menjual sayur-sayuran segar pada harga serendah RM2 seplastik sejak Mei lepas bagi membantu penduduk setempat mendapatkan keperluan dapur pada harga berpatutan.
Wan Azura Wan Ahmad, 35, dari Kampung Minda berkata perniagaan itu dijalankan bagi meringankan beban penduduk setempat, di samping memasarkan hasil tanaman yang diusahakan suaminya, Sulaiman Ismail, 37, di kampung berkenaan.
Wan Azura berkata suaminya mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kawasan seluas 0.8 hektar dan menjualnya kepada pemborong, sebelum dia memutuskan untuk memasarkannya sendiri pada harga RM2 seplastik.
“Antara sayur yang dijual ialah labu air, kacang panjang, bendi, kangkung, tomato, timun, terung, cili, kangkung, sawi dan bayam.
“Walaupun keuntungan yang tidak seberapa, saya puas kerana dapat bersedekah dan berkongsi rezeki dengan pelanggan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Minda di sini hari ini.
Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara tiga dan tujuh tahun itu berkata dia berniaga setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang bergantung kepada bekalan hasil tanaman yang diperoleh dari kebun.
Wan Azura berkata sambutan pelanggan semakin memberangsangkan apabila ramai mula mengetahui kewujudan gerainya termasuk pelanggan dari luar kampung.
“Secara purata saya dapat jual kira-kira RM200 sehari bergantung kepada bekalan hasil tanaman serta permintaan pelanggan.
“Usaha menjual hasil tanaman secara terus bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan sayur-sayuran segar pada harga berpatutan, malah membantu meningkatkan nilai hasil tanaman yang diusahakan suami,” katanya. – BERNAMA






