
KUALA LUMPUR: Penyanyi rock muda dari Phuket, Thailand, Nene Royal mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara America’s Got Talent (AGT) 2026 dan membawa pulang hadiah utama bernilai AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta).
Pemilik nama sebenar Rattikarn “Praew” Amloy itu mengatasi sembilan peserta lain menerusi undian peminat dalam talian untuk merebut gelaran berprestij berkenaan selepas melalui perjalanan luar biasa yang mendapat perhatian penonton di seluruh dunia.
Kemenangan remaja berusia 16 tahun itu diumumkan secara langsung pada malam Rabu waktu Amerika Syarikat.
Lebih menarik, sebelum keputusan diumumkan, Nene berpeluang berkongsi pentas dengan kumpulan rock legenda Amerika, Linkin Park, menerusi persembahan lagu The Emptiness Machine.
Sehari sebelumnya, Nene turut mencuri perhatian pada pusingan akhir apabila tampil bertenaga membawakan lagu ikonik Seven Nation Army, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara peserta paling menonjol musim ini.
Dia mula mencuri perhatian sejak sesi uji bakat AGT menerusi persembahan memukau lagu Zombie nyanyian asal kumpulan The Cranberries.
Bakatnya bermain gitar dan menyanyi digabungkan dengan personaliti bersahaja ketika berada di pentas menjadikan Nene meraih perhatian global.
Video persembahan uji bakatnya yang dimuat naik di akaun rasmi AGT turut mencatat lebih 1.5 juta tontonan dalam tempoh sehari.
Ia merupakan angka yang dianggap tinggi mengikut standard program pencarian bakat popular itu.
Daripada penghibur jalanan di Phuket kepada juara pertandingan bakat berprestij di Amerika Syarikat, kemenangan Nene kini membuka ruang lebih luas untuk remaja itu membina kerjaya muzik di pentas antarabangsa.







