
KUALA LUMPUR: Selepas 29 hari berlalu, nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar dan tanah runtuh di Nepal kekal menjadi tanda tanya.
Bagi keluarga mangsa, harapan untuk melihat insan tersayang kembali tetap ada meskipun penantian tanpa khabar semakin menguji emosi.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata, waris enggan menganggap ahli keluarga mereka sudah tiada selagi belum menerima pengesahan rasmi.
“Kami masih mempunyai harapan dan percaya keajaiban boleh berlaku.
“Selepas 29 hari, kami sedar keadaan semakin sukar, namun tidak boleh menolak kemungkinan ada antara mereka dihanyutkan ke kawasan lain, dibantu penduduk tempatan atau berada di kawasan terpencil tanpa akses komunikasi,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Manivannan yang juga abang kepada seorang daripada mangsa, Komathi Rethinam, berkata keluarga bagaimanapun bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.
“Sekiranya ada yang tidak dapat diselamatkan, kami berharap jasad mereka ditemukan, dikenal pasti dan dibawa pulang untuk penghormatan terakhir mengikut agama serta kepercayaan masing-masing.
“Bagi kami, perkara paling menyakitkan ialah tidak mengetahui apa yang berlaku kepada insan tersayang. Sebab itu, pencarian mesti diteruskan sehingga mendapat jawapan yang pasti,” katanya.
Dalam pada itu, MASFIH menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan supaya satu mekanisme rasmi diwujudkan bagi membantu keluarga 55 rakyat Malaysia berkenaan.
Manivannan berkata, pihaknya turut mengalu-alukan perbincangan Anwar dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, berhubung nasib rakyat Malaysia itu semalam.
“Bagi keluarga, ini langkah penting. Kami menghargai hakikat keresahan, kesedihan dan harapan mereka sudah disampaikan secara langsung di peringkat tertinggi kerajaan,” katanya.
Beliau turut berharap pertemuan antara waris dan Perdana Menteri dapat direalisasikan selepas hampir sebulan menunggu.
Katanya, keluarga mahu berkongsi maklumat serta kebimbangan berhubung tragedi berkenaan secara terus dengan Anwar.
“Sekiranya pertemuan dengan semua keluarga tidak dapat diadakan, MASFIH berharap satu delegasi kecil waris terdekat diberi peluang bertemu Anwar.
“Ini bukan pertemuan untuk publisiti. Keluarga hanya mahu didengar secara langsung oleh Perdana Menteri dan tidak mengharapkan beliau mempunyai semua jawapan atau memberikan janji yang tidak dapat dijamin,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi keluarga susulan banjir besar di Rasuwa, Nepal.
Kerajaan Nepal turut mengeluarkan senarai 537 warga asing dari lebih 30 negara yang dilaporkan hilang dalam bencana berkenaan.






