
SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki suspek kes samun bersenjata api di kedai emas dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara pada 10.15 malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata lelaki itu ditahan polis kontinjen Selangor dan IPD Petaling Jaya di sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Menurutnya, sejumlah barang kemas yang dilarikan ditemui semula susulan penahanan itu.
“Tangkapan dan barang kes dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes itu ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.
Hussein berkata, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya menerima maklumat orang awam berhubung samun bersenjata api di kedai emas dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara pada 4.56 petang semalam.
“Penjenayah dipercayai lelaki tempatan itu menggunakan senjata disyaki sepucuk pistol semasa melakukan samun.
“Tujuh dulang barang kemas dalam rak pameran kedai dilarikan penjenayah dan lelaki itu melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya itu. Kerugian dianggarkan berjumlah RM2 juta.”