
LANGKAWI: Prosedur Operasi Standard (SOP) riadah pengunjung di Tasik Dayang Bunting (TDB) di sini diperketatkan bagi mengelak kejadian lemas di tasik itu berulang.
Pengurus Besar Langsura Geopark Sdn Bhd yang juga syarikat pengendali tasik itu, Mohamad Zuhri Abd Rashid, berkata langkah itu bertujuan menjamin keselamatan pengunjung.
“Syarikat akan memperkukuh aspek kawalan keselamatan termasuk penegasan semula peraturan pemakaian jaket keselamatan dan pemantauan lebih ketat di kawasan rekreasi air.
“Semua pengunjung diingatkan sentiasa mematuhi arahan kakitangan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Zuhri berkata, berdasarkan SOP sedia ada, setiap pelawat akan diberi taklimat keselamatan termasuk kewajipan memakai jaket keselamatan di TDB.
“Malah, tiket masuk ke TDB dijual secara pakej bersama jaket keselamatan bagi setiap pelawat.
“Namun, kejadian lemas membabitkan pelancong India yang beriadah bersama keluarga di tasik itu Rabu lalu, di luar kawalan semua pihak,” katanya.
Rabu lalu, media melaporkan pelancong lelaki dari India, Agnihotri Vivek Ashok, 55, ditemui lemas selepas mandi bersama keluarga di TDB pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, dipetik berkata mangsa telah diminta memakai jaket keselamatan oleh petugas, namun dia enggan berbuat demikian dan terus mandi sebelum tenggelam.