
KUALA LUMPUR: Sebanyak 178,148 tiket daripada jumlah keseluruhan 261,116 tiket yang ditawarkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Hari Raya Aidilfitri, habis terjual.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata daripada jumlah itu tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) paling laris dijual dan kini hanya berbaki sekitar 10,958 tiket.
“Setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 107,038 tiket ETS terjual atau 91 peratus daripada keseluruhan tiket. Sebanyak 18,157 tiket (41 peratus) pula membabitkan mereka yang menaiki KTM Antarabandar.
“Bagi perjalanan menggunakan perkhidmatan tren Shuttle Tebrau pula, sebanyak 52,953 tiket atau 53 peratus sudah terjual.
“Bagaimanapun, bagi perjalanan ke utara pada 28 Mac ini sehingga 1 April sudah habis terjual dan begitu juga bagi perjalanan pulang ke ibu kota pada 4 sehingga 6 April ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan edaran pek cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), hari ini.
Anthony turut mengedarkan 1,000 pek cenderahati yang mengandungi kuih raya dan produk air minuman kepada penumpang tren ETS di Stesen KL Sentral.
Dalam majlis sama, Anthony turut mencuba perkhidmatan ETS ke Stesen Segamat yang dilanjutkan bermula 15 Mac lalu.
“Sepanjang sembilan hari ETS beroperasi di Stesen Segamat, purata penumpang sehari adalah 103 orang membabitkan jumlah keseluruhan yang telah menggunakan ETS di Stesen Segamat berjumlah 1,862 sehingga hari ini.
“Seperti sedia maklum perkhidmatan ETS dilanjutkan ke Stesen Segamat bermula 15 Mac lalu membabitkan empat perkhidmatan ETS laluan ke Butterworth-Segamat, Segamat-Butterworth, Segamat-Padang Besar dan Padang Besar-Segamat,” katanya.