
KUALA LUMPUR : Seramai 601 orang prospek daripada 34 institusi penjara di seluruh negara dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB), sekali gus membolehkan mereka yang meraikan Aidilfitri menyambut perayaan itu bersama keluarga.
Pelepasan banduan ini adalah melalui pelaksanaan Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bertujuan memberi peluang kepada mereka yang layak untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat dalam usaha menyokong pemulihan serta integrasi sosial mereka.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, banduan tersebut dilepaskan setelah memenuhi syarat yang ditetapkan, termasuk berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan dan mengikuti program pemulihan yang disediakan.
” Pogram ini adalah sebahagian daripada inisiatif Ihsan Madani yang bertujuan memperkukuh hubungan kekeluargaan dan memberi peluang kedua kepada banduan yang telah menunjukkan perubahan positif.
“Jabatan Penjara Malaysia percaya bahawa setiap individu berhak mendapat peluang untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat. Ia juga merupakan salah satu usaha kami untuk menyokong pemulihan banduan secara holistik. ,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelaksanaan PBSL sempena Aidilfitri ini melibatkan institusi penjara di seluruh negara dan kesemua banduan yang dibebaskan akan dipantau secara berterusan oleh pihak berkuasa bagi memastikan mereka mematuhi syarat pelepasan dan tidak mengulangi kesalahan lalu.
“Jabatan Penjara Malaysia mengharapkan agar masyarakat dapat menerima mereka yang telah diberi peluang kedua ini dengan terbuka, sekali gus membantu mereka dalam proses penyesuaian dan pemulihan di dalam komuniti,” kata kenyataan itu.