PRN MELAKA : Gabungan Muafakat Nasional kekal Utuh


Perhimpunan Agung UMNO 2020 mahu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN). - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Katanya, asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

“Ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas MKT UMNO.DISYORKAN UNTUK ANDA

Mesyuarat Khas MKT UMNO malam ini dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ahmad berkata, mesyuarat turut bersetuju melantik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah PRN Melaka.

“MKT juga memberikan mandat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri (Naib Presiden), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka,” katanya.

Ditanya jika PAS menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka, Ahmad berkata, perkara itu akan dimuktamadkan oleh Ahmad Zahid, Mohamad dan Ismail Sabri.

Mengenai kerjasama dengan BERSATU, Ahmad enggan membuat sebarang kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *