NasionalPolitik

Rakyat lega SOP baharu lindungi rakyat, rugikan ahli politik

MELAKA – Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa pada Isnin sehingga 27 November, menjadi khabar gembira yang melegakan masyarakat di sini.

Ini kerana mereka bimbang aktiviti yang dilaksanakan menjelang dan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, akan mencetuskan gelombang penularan Covid-19 yang akan menyekat kembali ‘kebebasan’ yang baharu sahaja dinikmati rakyat.

Bukan sahaja parti-parti politik perlu akur dengan pengumuman itu yang turut menyenaraikan penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya sebagai larangan, bahkan masyarakat juga menuntut komitmen pemimpin untuk mematuhi larangan berkenaan.

Pekerja swasta, Saadiah Ismail, 36, dari Klebang berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat akan terus terjamin.

“Kita dapat melihat melalui media massa, di video dan gambar bagaimana sesaknya di sesuatu tempat apabila pemimpin politik turun padang… jentera parti yang terlibat juga bukan kumpulan yang kecil dan mereka datang dari dalam dan luar Melaka.

“Saya percaya pematuhan SOP sepenuhnya tidak akan dapat dilakukan dengan sebaiknya, memandangkan masing-masing ghairah untuk berkempen dan menarik pengundi. Langkah mengenakan larangan ini amat tepat dan wajar,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Sependapat dengan Saadiah, pengusaha restoran Muhammad Ismail Rahmad, 44, turut bersetuju dengan langkah KKM dan mahu bukan sahaja pemimpin bahkan rakyat juga perlu terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 ke Melaka.

“Rakyat telah banyak terkorban dan sengsara kerana Covid-19 dan jika penularan berlaku kerana PRN Melaka, ia akan bagi kesan yang lagi teruk kepada rakyat,” katanya.

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *