Anak angkat pengasas Rumah Bonda diserah kepada JKM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret mengarahkan hak penjagaan seorang anak angkat pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tiga tahun.
Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun berkata, Majistret Norfarahain Roslan mengeluarkan perintah itu hari ini ketika pendengaran permohonan hak penjagaan.
“Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu akan diletakkan bawah jagaan JKM sementara menunggu kes penderaan kanak-kanak Siti Bainun selesai di Mahkamah Sesyen,” katanya kepada wartawan.
Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 Ogos lalu atas dakwaan mengabaikan Bella, remaja 13 tahun yang menghidap Sindrom Down.
Aminahtul berkata, mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap perintah majistret memberikan hak penjagaan sementara kepada JKM.
“Pendengaran akan diteruskan pada 2 dan 16 Nov untuk permohonan Siti Bainun mendapatkan hak penjagaan penuh ke atas empat lagi anak angkatnya.”
Sebelum ini, JKM mengambil hak penjagaan lima anak angkat Siti Bainun pada 16 Julai lalu, selpas wanita itu ditahan polis atas dakwaan penderaan Bella.
Bella ditemui dengan kesan lecur pada dada, tangan, leher dan pahanya pada 6 Julai lalu, selepas didakwa menjadi mangsa penderaan di sebuah kondominium di Wangsa Maju yang digunakan sebagai rumah kebajikan.
Rumah kebajikan itu juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak pernah berdaftar dengan JKM.
Sumber – FMT