5 kluster tempat kerja, Kes baharu meningkat
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan lapan kluster baharu Covid-19, dengan lima daripadanya membabitkan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selebihnya masing-masing satu merupakan kluster komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan sektor pendidikan.
Katanya, kluster berkenaan dikesan di Johor, Selangor Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Labuan.
Perincian kluster seperti berikut:
- Kluster Industri Jalan Kemajuan Bangi 2 (Hulu Langat) dengan 29 kes.
- Kluster Industri Jalan Telok Mengkuang (Kuala Langat) dengan 15 kes.
- Kluster Jalan Besi (Lembah Pantai) dengan 8 kes.
- Kluster Paya Pasir (Maran) dengan 15 kes.
- Kluster Industri Banang Jaya (Batu Pahat) dengan 18 kes.
- Kluster Jalan Batu Gantung (Timur Laut) dengan 42 kes.
- Kluster Jalan Marsom (Sabak Bernam) dengan 10 kes.
- Kluster Merinding 2 (Labuan) dengan 11 kes.
Hisham berkata, sebanyak 5,752 kluster Covid-19 dikesan di seluruh negara setakat ini dengan 474 daripadanya adalah kluster aktif dan 5,278 lagi sudah tamat.