
SHAH ALAM: Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, kekal menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan mengabaikan anaknya itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Hisham Ismail, turut menolak rayuan silang pendakwaan yang memohon hukuman lebih berat selepas mendapati hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini adalah memadai.
Noor Hisham berkata, pihaknya berpuas hati Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang-undang ketika mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Ismanira, 31.
“Mahkamah ini selepas menimbang rekod rayuan, alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen dan hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah berpuas hati, Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusannya,” katanya ketika membacakan penghakiman ringkas.
Ujar Noor Hisham, Mahkamah Tinggi hanya akan campur tangan terhadap hukuman sekiranya ia tidak memadai, jelas berlebihan atau terdapat kekhilafan prinsip.
“Tertuduh dihukum bagi pengabaiannya sendiri, bukan perbuatan jenayah pihak ketiga.
“Hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Hakim Mahkamah Sesyen bukan sesuatu yang tidak memadai atau jelas berlebihan.
“Kesimpulannya, dengan hormat, rayuan tertuduh dan rayuan silang pendakwa raya adalah ditolak kedua-duanya,” katanya.
Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syaliza Warnoh, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan, selain mewajibkan Ismanira menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan serta cagaran RM3,000.
Dia juga diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Ismanira sebelum ini memfailkan petisyen rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co pada Januari lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, ketika kanak-kanak itu berusia enam tahun, didakwa mengabaikannya dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran apartmen berkenaan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.





