
MELAKA: Ribut Tropika Senyar yang melanda Selat Melaka merekodkan kematian pertama di negara ini serta beberapa insiden pokok tumbang dan runtuhan cerun.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad berkata, seorang lelaki berusia 49 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebatang pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap, Jasin pada pukul 6.57 pagi tadi.
Beliau turut mengesahkan berlaku runtuhan struktur pelantar minyak di Port Dickson membabitkan lapan pekerja, namun kesemua mereka selamat dalam insiden itu.
“Sebanyak 49 kes pokok tumbang direkodkan di lima negeri iaitu Negeri Sembilan (33 kes), Melaka (8), Selangor (5), Putrajaya (2) dan Perak (1),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti JBPM 2025 di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, kejadian pokok tumbang banyak berlaku susulan struktur tanah yang menjadi lembut selepas hujan berintensiti tinggi, terutama di kawasan beriklim tropika yang mudah terjejas.
“Walaupun ribut Senyar telah melemah dan diturunkan status kepada sistem cuaca tekanan rendah, saya ingin mengingatkan orang awam agar menjauhi kawasan berisiko seperti lokasi dengan pokok besar dan kawasan berhampiran cerun,” katanya.






