
KUALA LUMPUR: Usaha pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara ini turut melibatkan puisi sebagai medium perantaraan.
Bagi merealisasikan inisiatif tersebut, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Majlis Sanggar Puisi Perpaduan 2024 : Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni.
Menteri KPN, Datuk Aaron Ago berkata, penganjuran program itu selaras dengan usaha kerajaan dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, bahasa adalah elemen asas yang penting dalam pembinaan sesebuah bangsa dan di Malaysia, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga berfungsi sebagai penghubung utama dalam usaha mewujudkan perpaduan, keharmonian, serta jati diri kebangsaan.
“Puisi adalah luahan jiwa yang melampaui batasan bahasa dan budaya selain sebagai cerminan perasaan, pengharapan dan impian kita bersama. Apabila seorang penyair mendeklamasikan puisi, ia tidak sekadar menyampaikan kata-kata, tetapi juga mengajak kita merasai apa yang dilaluinya. Inilah yang menjadikan puisi istimewa.
“ Sehubungan itu, saya berharap program ini dapat dijadikan satu daripada program berterusan oleh Kementerian Perpaduan Negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aaron menyatakan Perpustakaan Negara Malaysia akan menganjurkan program sebegini secara berterusan seperti Festival Puisi Rakyat pada masa akan datang dengan mengundang penyair dari pelbagai etnik dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi.
Beliau juga menyeru agar rakyat Malaysia terus menjadikan bahasa dan sastera sebagai jambatan perpaduan serta sebagai wadah yang menghubungkan jiwa rakyat sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni.
“KPN berharap program seperti ini berupaya meningkatkan lagi penyatuan masyarakat Malaysia pada masa akan datang di samping mempelbagaikan aktiviti yang dapat memupuk keharmonian masyarakat melalui penciptaan puisi moden dan tradisional,” ujarnya.
Program Sanggar Puisi berlangsung sejak 15 Mei hingga hari ini dengan disertai seramai 1,340 orang.