
KUALA SELANGOR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penahanan pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta, Indonesia yang berkaitan dengan dadah pada Julai lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki yang juga seorang juruterbang berumur 30-an itu, berperanan mengurus kewangan hasil daripada penjualan dadah terbabit, ditahan di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.
“Jadi, sekarang sebanyak tujuh individu telah ditahan dan suspek merupakan juruterbang daripada syarikat penerbangan yang lain,” katanya dalam sidang media di sebuah kawasan perindustrian di Puncak Alam, di sini hari ini.
Pada 4 Sept lepas, Hussein berkata polis menahan enam lelaki disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan penahanan pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta itu.
Beliau berkata tangkapan itu dibuat susulan maklumat yang diperoleh daripada pembantu juruterbang berumur 39 tahun terbabit ketika disoal siasat oleh pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos lepas.
Media sebelum ini melaporkan pembantu juruterbang itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah.
Polis Republik Indonesia (POLRI) menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan dadah jenis methamphetamine, bernilai kira-kira RM45 juta.
Dalam perkembangan berasingan, Hussein berkata polis menahan sembilan individu dalam lima siri serbuan menerusi Ops Melanoplus di sekitar Lembah Klang pada 21 Ogos.
Berdasarkan maklumat risikan, beliau berkata operasi itu menahan sembilan suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan dua perempuan berumur antara 19 hingga 33 tahun.
“Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk cecair methylenedioxymethamphetamine (MDMA) sebanyak 61.26 kg, pil ekstasi (0.79 kg), bunga ganja (6.09 kg), pil Erimin 5 (3.80 kg), ganja (11.13 kg), methamphetamine (3.25 kg), biskut ganja (870 gram), ketamin (490 gram) dan serbuk MDMA (480 gram).
“Polis turut merampas 959 katrij cecair MDMA dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM10.82 juta dengan anggaran berat lebih 86 kg,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata tiga suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 3 Sept, dan seorang didakwa di bawah Seksyen 39A(2) akta sama pada 28 Ogos.
Selain itu, katanya, tiga suspek dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis. – BERNAMA






