
KOTA KINABALU: Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung, hari ini kekal dengan kesimpulannya cara kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan bunuh diri.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Prosiding Inkues, Nahra Dollah, saksi yang dipanggil semula itu menegaskan bahawa penentuan muktamad cara kematian Zara Qairina adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Koroner.
“Saya tetap dengan kesimpulan cara kematian si mati paling konsisten dengan bunuh diri.
“Dengan rendah diri, saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukan cara kematian yang muktamad dan pandangan saya kekal sebagai pendapat pakar berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya.
Dr Sze Hung dipanggil semula untuk memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas Pakar Perunding Psikiatri, Dr Simon Wong, yang dipanggil oleh pasukan guaman ibu Zara Qairina, selesai memberikan keterangannya.
Dalam keterangannya hari ini, beliau bersetuju tekanan emosi yang signifikan dari sudut klinikal, seperti yang dinyatakan Dr Wong, adalah selari dengan faktor langsung yang dikenal pasti dalam penilaiannya.
Beliau turut bersetuju tekanan yang berlaku susulan soal siasat dan pengasingan di A-3-6 merupakan faktor pencetus secara langsung berdasarkan penilaiannya.
Menurut Dr Sze Hung, pendekatan Dr Wong adalah berdasarkan penilaian atau rumusan psikiatri klinikal yang tidak direka khusus untuk menentukan cara kematian.
Sebaliknya, katanya, autopsi psikologi merupakan kaedah yang direka khusus untuk membantu menentukan cara kematian dan lebih relevan dalam membantu mahkamah menjalankan siasatan mengenainya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth.
Prosiding inkues yang bermula pada 3 September 2025 setakat ini sudah mendengar keterangan pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, pegawai polis, pakar patologi forensik, pakar psikiatri serta pemeriksa dokumen forensik.






